Amalan Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup sihat merupakan suatu amalan kehidupan yang membina dimana ia dapat membawa kesan yang positif kepada seseorang individu , institusi keluarga dan juga masyarakat.

Gaya hidup sihat merupakan salah satu aspek yang penting dalam menjaga tahap kesihatan seseorang.

Antara contoh amalan gaya hidup sihat adalah menjaga kebersihan diri, pemakanan yang seimbang, aktiviti senaman, mengawal emosi diri, tabiat hidup yang sihat dan banyak lagi.

Semua orang impikan memiliki sebuah gaya hidup sihat, namun untuk membuat perubahan bukanlah satu perkara yang mudah. Membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan tabiat baik merupakan satu tugas yang amat mencabar. Ramai yang putus asa di tengah jalan.

Untuk memulakan gaya hidup sihat, kita perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti penjagaan makanan, kesihatan mental dan senaman fizikal. Asasnya ramai dah tahu, tetapi kenapa masih ramai yang gagal?

Salah satu puncanya adalah membuat perubahan pada kadar terlalu mendadak. Sebelum ni tak pernah bersukan, bila terfikir nak berubah terus lari 5KM. Kesudahannya badan sakit 2-3 hari, kemudian rasa malas nak buat dah.

Perubahan mendadak ini mungkin boleh tahan dalam 1-2 minggu, tapi selepas itu kita akan penat dan putus asa. Buat perubahan gaya hidup sikit demi sikit mengikut tahap keselesaan anda, yang paling penting adalah gaya hidup sihat ini berkekalan sampai ke hujung hayat kita.

Mari mulakan gaya hidup dengan 4 langkah ini.
 
1) KAWAL PEMAKANAN
Salah satu cara mudah untuk mengawal pemakanan adalah menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia #sukuksukuseparuh yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Anda masih boleh makan nasi, tapi dalam kuantiti yang terkawal. 2 perkara anda perlu ingat dalam pemakanan sihat adalah sedar dan kawal.

2) BANYAKKAN AKTIVITI FIZIKAL
Kebanyakan pekerjaan zaman sekarang tidak memerlukan pergerakan fizikal yang        banyak, sehari 7-8 jam duduk sahaja di depan komputer. Sebelum mulakan aktiviti        senaman berkala, cuba dahulu untuk menjadi lebih aktif dengan 5 cadangan di bawah.

Jalan kaki untuk perjalanan yang dekat (bawah 1km) 
Gunakan tangga berbanding lif 
Parkir kereta jauh daripada ofis
Regangkan badan selama 10 minit bagi setiap 1 jam 
Rajinkan buat kerja rumah (menyapu, mengemop) 

Pilih aktiviti atau senaman yang kita suka supaya kita rasa selesa dan rajin untuk buat. Sekurang kurangnya 3 kali seminggu dan 30 minit setiap sesi.

3) JAGA KESIHATAN MENTAL
Tiada gunanya jika badan sahaja sihat tetapi mental kita tertekan. Dengan tekanan di tempat kerja dan penat menempuh kesesakan jalan raya, generasi hari ini lebih mudah mendapatkan tekanan mental. Kita akan rasa hidup ini sekadar kerja, makan dan tidur, sedangkan ia lebih daripada itu.

Banyak cara untuk pastikan kesihatan mental dalam keadaan baik, antaranya:
* Jaga ibadah (bagi yang Muslim)
* Luangkan masa untuk bercerita masalah
* Luangkan masa dengan alam

4) DAPATKAN TIDUR YANG SECUKUPNYA
Tidur yang cukup adalah elemen yang sangat penting dalam membina gaya hidup yang sihat. Tidak cukup tidur akan menyebabkan otak sukar untuk fokus dan mudah jatuh sakit. Tetapkan waktu tidur anda, jangan hari ini tidur jam 12 malam, esoknya jam 1 pagi dan lusa jam 2 pagi. Tidur sekurangnya 6-8 jam sehari. Walau sesibuk mana pun anda, pastikan tidur anda mencukupi.

Amalan gaya hidup sihat penting untuk kita. Mulakan gaya hidup sihat dengan mengubah sikit demi sikit dalam setiap aspek kehidupan. Mulakan dengan langkah kecil dan tambah baik dari semasa ke semasa. Ingat, ia adalah sebuah perjalanan bukannya destinasi.

Jangan terlalu drastik, kerana perubahan drastik biasanya tidak bertahan lama.

Jom jadikan gaya hidup sihat sebagai amalan sepanjang hayat 💪

Comments

Popular Posts